9 maut tanah runtuh di lombong emas

JAKARTA, 19 APRIL – Tanah runtuh di tapak lombong emas haram di Sumatera semalam meng-akibatkan sembilan orang maut akibat tertimbus.

Pihak berkuasa Indonesia berkata kemalangan di Solok Selatan dekat wilayah Sumatera Barat itu berlaku semasa 12 individu datang secara berkumpulan untuk mencuba nasib menggali bagi mendapatkan emas di lombong terbiar berkenaan.

Jurucakap polis daerah itu, Firdaus Firman, berkata di wilayah terbabit terdapat beberapa lombong terbiar tinggalan sejak era penjajahan asing.

“Dalam tragedi ini, lapan lelaki dan seorang wanita yang melakukan penggalian di tempat yang lebih dalam mati tertimbus akibat tanah runtuh.

“Kerja-kerja mengeluarkan mayat kesemua mangsa dilakukan awal pagi tadi,” katanya kepada AFP.

Difahamkan, tiga lagi mangsa yang terselamat dalam kejadian itu segera melaporkan kepada pihak polis selepas gagal menyelamatkan sembilan rakan mereka yang tertimbus ketika berada di dalam lombong berkenaan. Mangsa yang meninggal dunia adalah dalam kalangan petani yang mencari emas secara sampingan di lombong itu, tanpa memakai sebarang kelengkapan perlindungan diri. – AFP