9 orang terkorban nahas kenderaan di Chile

SANTIAGO, 10 Jan – Sembilan orang terbunuh manakala 11 lagi cedera dalam nahas yang membabitkan pelbagai kenderaan di selatan bandar Mafil.

Antara kenderaan terbabit ialah sebuah van membawa 17 orang yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas menjalani dialisis buah pinggang di sebuah klinik di bandar Valdivia, kata Ketua Polis Chile Kolonel Hector Moreno.

Siasatan awal menunjukkan bahawa sebuah kereta yang menuju ke selatan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah trak yang kemudiannya merempuh van itu.

Van perubatan itu berakhir di bawah trak terbabit dan petugas kecemasan terpaksa membawa sebuah kren untuk mengangkat kenderaan yang lebih besar sebelum mengeluarkan mangsa yang terperangkap. – Bernama