9 pemain Nashville SC positif COVID-19

MIAMI, 9 JULAI – Empat lagi pemain dari Nashville SC telah disahkan positif koronavirus, menurut satu laporan semalam, yang menimbulkan persoalan mengenai pasukan itu dalam memulakan semula Major League Soccer (MLS).

Laman web Athletic melaporkan bahawa empat pemain yang menjalani ujian tambahan untuk COVID-19 semuanya diuji positif.

Sekiranya disahkan, itu bermaksud sembilan pemain Nashville secara keseluruhan telah disahkan positif COVID-19 setelah lima kes baharu yang disahkan baru-baru ini.

MLS dan Nashville SC tidak dapat memberikan komen mengenai laporan tersebut, yang muncul ketika liga sedang bersiap sedia untuk pembukaan perlawanan ‘MLS is Back’ di Orlando, Florida. Pada Isnin lalu, FC Dallas menarik diri dari kejohanan itu sepenuhnya setelah 10 pemain dan seorang kakitanga pasukan disahkan positif COVID-19.

MLS telah ditutup sejak penularan wabak COVID-19 melanda pada bulan Mac, menyebabkan sukan di Amerika Utara terhenti.

MLS melancarkan semula musim bola sepak dengan format kejohanan Piala Dunia, semua pasukan mengambil bahagian di kampus Disney World di Orlando. Sejak keputusan untuk memulakan semula liga diumumkan, kes COVID-19 di seluruh Amerika Syarikat telah semakin meningkat, dengan Florida terjejas teruk. – AFP