9 pemandu pelancong terima sijil

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Pemandu pelancong merupakan salah satu komponen penting dalam sektor pelancongan di negara ini dan pemandu pelancong yang mempunyai kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa merupakan satu kelebihan bagi sektor pelancongan negara.

Dalam hubungan itu, sembilan orang pemandu pelancong telah lulus dan menerima sijil mereka bagi Kursus Bahasa Mandarin dalam majlis penyampaian sijil yang berlangsung di Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), kelmarin.

Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sijil ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Kursus Bahasa Mandarin itu telah dikendalikan secara kerjasama antara Jabatan Kemajuan Pelancongan dan JRA Barakah, iaitu sebuah syarikat tempatan yang memperkembangkan kemahiran komunikasi termasuk pengkhususan dalam Bahasa Mandarin.

Kursus Bahasa Mandarin bagi sembilan orang pemandu pelancong berkenaan telah diadakan pada 1 April sehingga 8 Mei lalu di mana kursus yang julung kali diadakan bagi para pemandu pelancong itu direka khas bagi meningkatkan teknik pertuturan Bahasa Mandarin semasa berkomunikasi dengan pelancong.

Kursus Bahasa Mandarin itu juga dianjurkan bagi memenuhi keperluan industri pelancongan di negara ini memandangkan Republik Rakyat China merupakan pasaran utama bagi pelancongan di negara ini dan terdapatnya peningkatan jumlah ketibaan pelancong dari Republik Rakyat China yang positif dari setahun ke setahun.

Kerjaya profesion sebagai pemandu pelancong sememangnya sangat-sangat diperlukan dalam sektor pelancongan di negara ini terutama sekali pemandu pelancong yang mempunyai kemahiran pelbagai bahasa.

Setakat ini, seramai 196 orang pemandu pelancong telah berdaftar dan berlesen di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan yang antaranya boleh berbahasa Mandarin, Kantonis, Haka, Jepun, Korea, Thailand, Tagalog, Indonesia, Arab dan Tamil selain daripada Bahasa Inggeris dan Melayu.