9 rumah musnah dijilat api di Tawau

TAWAU, 2 Jan – Sembilan rumah papan musnah dalam kebakaran di Lorong Ibu Norati, Batu 2 Jalan Apas di sini, petang tadi. Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Tawau, Ismaidi Ismail berkata maklumat awal yang diterima menyatakan kejadian kira-kira pukul 3 petang itu berpunca daripada dapur gas yang ditinggalkan tanpa kawalan sewaktu memasak.

“Namun pihak forensik masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.

Menurut Ismaidi, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3:08 petang dan lima jentera serta dua kenderaan serba guna, bersama 31 anggota tiba di lokasi kebakaran kira-kira 8 minit kemudian.

“Sebaik tiba, api sedang marak namun kebakaran itu dapat dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 4 petang dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – Bernama

Sembilan buah rumah musnah dalam satu kebakaran di Lorong Ibu Norati, Batu Dua Jalan Apas Lewat kelmarin. Kelihatan anggota bomba berusaha untuk memastikan api itu benar-benar telah padam. – Bernama
Sembilan buah rumah musnah dalam satu kebakaran di Lorong Ibu Norati, Batu Dua Jalan Apas Lewat kelmarin. Kelihatan anggota bomba berusaha untuk memastikan api itu benar-benar telah padam. – Bernama