9 rumah panjang di Matu dikenakan PKPD

KUALA LUMPUR, 17 JUN – Sembilan rumah panjang di Sungai Rassau, Batang Igan di Matu, Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Sabtu ini hingga 2 Julai depan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata rumah panjang yang terlibat ialah Rumah Panjang Salim anak Unang, Rumah Panjang Judy anak Kudi, Rumah Panjang Mathew anak Merang, Rumah Panjang Danggang anak Ujang dan Rumah Panjang Lait anak Ijang.

Selain itu, Rumah Panjang Chandi anak Kilau, Rumah Panjang Putut anak Jugah, Rumah Panjang Sadin anak Jeli dan Rumah Panjang Mador anak Rendah. “Seramai 84 penghuni telah disaring dan daripada jumlah itu, 48 kes positif direkodkan dengan kadar positif 57.14 peratus. Kementerian Kesihatan Malaysia juga mendapati penularan mula berlaku dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

“Pelaksanaan PKPD bertujuan untuk memudahkan pengesanan awal kes positif sekali gus membendung penularan wabak itu secepat mungkin,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan turut memutuskan untuk melanjutkan PKPD di asrama pekerja asing dan kawasan kilang Wah Cens Plastic Industries & Rainbow Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap di Segamat, Johor berkuat kuasa bagi tempoh yang sama.

Beliau juga berkata PKPD di tiga lokaliti di Sabah dilanjutkan mulai Sabtu ini hingga 2 Julai depan yang melibatkan kawasan Semarak di Tawau, Kampung Pengaraban (Kudat) dan Taman Wawasan (Tawau).

Katanya pelaksanaan PKPD di Kampung Tanjung Aru Baru dan Rumah Murah Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah pula ditamatkan hari ini seperti dijadualkan. – Bernama

Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan agar pergerakan merentas negeri bagi sambutan Aidilfitri tahun ini ditangguhkan susulan situasipenularan COVID-19 masih membimbangkan ketika ini selain rungutan dan rayuan pelbagai pihak supaya kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan berkenaan.

–fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA