9 saksi sedia beri keterangan kes Najib

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Pada Selasa, seperti yang ditetapkan sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini dijangka memulakan pendengaran kes yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, perdana menteri Malaysia pertama yang berhadapan dengan berpuluh-puluh tuduhan berhubung dengan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah (CBT) dan rasuah.

Tuduhan di mahkamah terhadap Najib, 66, Perdana Menteri keenam dari April 2009 hingga Mei 2018, menarik perhatian seluruh dunia setelah kesnya digambarkan sebagai ‘skandal kleptokrasi paling buruk’ dan tuduhan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang mendapat perhatian hangat dari masyarakat umum dan antarabangsa, menyebabkan pelbagai spekulasi dan ada yang terpaku oleh kes itu.

Sehingga Jumaat, Najib telah didakwa di mahkamah sebanyak enam kali dengan 42 pertuduhan jenayah.

Najib, yang juga bekas presiden UMNO, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menetapkan 33 hari dari 12 Februari hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac untuk perbicaraan tujuh tuduhan terhadap Najib yang melibatkan dana SRC International.

Sumber memberitahu Bernama bahawa pihak pendakwaan siap dengan sembilan saksi untuk memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan itu dan antara mereka pegawai kerajaan.

“Kami bersedia dengan sembilan saksi tetapi ia bergantung kepada bagaimana perbicaraan berlangsung pada hari itu. Kami juga menyediakan kenyataan saksi dan selepas saksi membaca kenyataan mereka, pembelaan akan menyoal balas mereka,” kata sumber ketika ditanya mengenai prosiding perbicaraan itu nanti. – Bernama

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa semula atas tiga pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta di Mahkamah Sesyen, kelmarin. – Bernama