ISLAMABAD, 1 SEPT – Sembilan askar maut akibat serangan pengebom nekad yang menunggang motosikal dan merempuh konvoi tentera berkenaan di wilayah barat Pakistan, semalam.
Menurut sayap media tentera, kejadian berlaku di daerah Bannu yang terletak 61 kilometer dari sempadan.
Menteri Wilayah, Feroze Jamal Shah pula memberitahu AFP, motosikal ditunggang pengebom nekad itu merempuh sebuah trak dalam konvoi tentera terbabit.
Pihak tentera Pakistan berkata lima tentera cedera dalam serangan berhampiran bandar Jani Khel itu, namun Shah menyatakan bilangannya mencecah 20 mangsa.
Perdana Menteri, Anwaar-ul-Haq Kakar menyifatkan insiden itu sebagai ‘tindakan pengganas yang pengecut.’
Wilayah di sempadan itu telah lama menjadi sarang aktiviti pemberontakan, dengan kumpulan seperti Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) menggunakannya sebagai tempat persembunyian serta pelancaran serangan.
TTP adalah ancaman terbesar di wilayah itu dan Islamabad mendakwa pejuang kumpulan terbabit mencari tempat untuk berlindung di Afghanistan. Malah, TTP didakwa melancarkan kempen menentang anggota keselamatan, termasuk polis, sejak beberapa bulan lalu. – AFP
