SINGAPURA, 20 MEI – Sembilan warga Britain telah ditegah daripada bekerja di Singapura selepas melanggar peraturan koronavirus dengan berparti di sebuah kapal layar sambil berpakaian renang dan memakai topi Santa, menurut laporan hari ini.
Imej dari festival Boxing Day tahun lalu di atas kapal tular dalam media sosial, membangkitkan keberangan warga Singapura dengan pihak berkuasa segera melancarkan siasatan.
Pada ketika itu, perhimpunan di luar rumah dihadkan kepada lima orang di bawah kekangan untuk mencegah penularan virus.
Kementerian Buruh mengumumkan hari ini bahawa lapan warga Britain – lima lelaki dan tiga wanita – ditegah kekal daripada bekerja di Singapura, lapor penyiaran CNA dan akhbar Straits Times.
Manakala seorang lagi wanita Britain yang mengambil bahagian dalam festival itu sudah pun disekat pada Mac daripada bekerja di republik itu, yang mempunyai ramai penduduk asing.
Lapan warga Britain itu juga mengaku bersalah hari ini kerana melebihi had maksimum pada saiz kumpulan dan masing-masing didenda Sg$3,000 (AS$2,250), menurut laporan tersebut.
Mereka boleh didenda sehingga Sg$10,000 atau dipenjara enam bulan atau kedua-duanya sekali. – AFP




































