90 ditahan berjudi dalam talian

MANILA, FILIPINA, 31 MEI – Polis Filipina telah memberkas 90 warga China kerana didakwa mengendalikan hab perjudian dalam talian tanpa permit dan melanggar sekatan kuarantin, kata pegawai hari ini.

Polis melakukan penangkapan besar-besaran pada Jumaat selepas menemui beberapa suspek berkumpul tanpa memakai penutup mulut dan hidung di luar sebuah pangsapuri sewa yang melanggar sekatan kuarantin, di wilayah Cavite selatan Manila. Suspek berlari masuk ke sebuah pangsapuri, di mana operasi perjudian terbongkar, kata pegawai.

Dua warga Malaysia juga ditahan, kata polis. Menurut kenyataan polis, 48 suspek ‘telah mengendalikan permainan dalam talian sementara yang lain mengumpul dan melepak tanpa memakai penutup mulut dan hidung, merokok dan bergaul tanpa mematuhi garis panduan penjarakan sosial.’

Polis merampas 53 buah komputer riba, lebih 100 telefon bimbit dan wang tunai. Suspek gagal menunjukkan pasport dan permit kerja dan perniagaan, dan menghadapi aduan jenayah, menurut polis.

Sejumlah besar warga China telah memasuki Filipina, kebanyakan mereka secara haram dengan bantuan sindiket, untuk bekerja untuk kumpulan perjudian dalam talian dalam beberapa tahun ini. Perniagaan yang menguntungkan itu memenuhi pelanggan di China, di mana perjudian dilarang. Operator China berpindah ke Filipina selepas menghadapi tindakan keras di Kemboja. – AP