90 karton rokok berjaya dirampas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berjaya merampas sebanyak 90 karton rokok dalam Operasi Sepadu Task Force COVID-19 pada 19 November lalu.

PPDB dalam kenyataan dikeluarkan hari ini mengatakan, rampasan hasil kolaborasi gabungan itu dibuat setelah sebuah kenderaan tanpa pemandu dan dalam keadaan mencurigakan ditemui di kawasan Simpang 776, Kampung Lumapas.

Anggota Balai Polis Kampong Ayer, PPDB segera dimaklumkan untuk menjalankan siasatan yang mendapati dua kotak bungkusan berwarna hitam dalam kenderaan tersebut.

Melalui pemeriksaan, pihak polis menemui 90 karton rokok dalam bungkusan tersebut.

Kesemua barangan bukti dan kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

PPDB menekankan pihaknya dan agensi-agensi penguat kuasa lain akan sentiasa komited mengesan dan membanteras penyeludupan barang-barangan tegahan di kawasan sempadan dan sekitarnya di Negara Brunei Darussalam.

Bungkusan berwarna hitam ditemui dalam kereta yang mencurigakan di kawasan Simpang 776, Kampung Lumapas. – Gambar serahan PPDB