90 pelajar khatam hafaz 30 juzuk dirai

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Seramai 90 orang pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) telah diraikan pada Majlis Khatam Hafaz 30 Juz Al-Quran bagi pelajar-pelajar institut berkenaan yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Pemangku Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.

Daripada jumlah keseluruhan peserta berkenaan 37 orang daripadanya merupakan pelajar lelaki dan 53 lagi pelajar perempuan.

Antara tujuan majlis adalah bagi menghargai usaha dan titik peluh pelajar-pelajar ITQSHHB dan para guru yang bersusah payah menamatkan (khatam) hafazan 30 Juz Al-Quran selain sebagai satu budaya dan tradisi dengan niat untuk meraikan mereka yang menghafaz ayat-ayat Allah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat diikuti dengan bacaan surah-surah lazim secara hafazan dan bacaan takhtim oleh para peserta khatam.

Sejurus selepas itu, Doa Khatam dibacakan oleh pelajar Tahun 10BL, Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran.

Majlis juga diserikan dengan laungan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh para siswa tahun 1 dan 2 Diploma Aliyah Al-Quran ITQSHHB dan diikuti dengan penyampaian sijil khatam hafaz oleh tetamu kehormat majlis.

Seterusnya, majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran, Selawat Tafrijiyyah dan Sayyidul Istighfar oleh pelajar Tahun 11AL, Awangku Muhammad ‘Ashim ‘Afif bin Pengiran Haji Muhammad  Zin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah para pegawai, pensyarah, guru dan kakitangan ITQSHHB serta ibu bapa para peserta khatam yang diraikan.

Pengiran Haji Amiruddin bergambar ramai bersama para peserta khatam.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.