90 rumah musnah terbakar

SANDAKAN, 27 Jun – Sebanyak 90 rumah di Kampung Gas dekat sini musnah dalam satu kebakaran petang tadi menyebabkan 400 penduduk kampung hilang tempat tinggal.

Kebakaran tersebut melibatkan lima kawasan dari Jambatan Satu hingga Jambatan Lima, menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah.

Kenyataan itu menyatakan pihak bomba dan penyelamat dapat memadamkan api sebelum merebak ke tujuh lagi kawasan di perkampungan atas air di Jambatan Enam hingga Jambatan 12 serta sebuah kilang kayu.

Menurut kenyataan itu 22 pegawai dan anggota bomba diketuai Penguasa Bomba Anddre Andrew dengan empat jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 1.56 tengah hari.

Operasi memadam api turut dibantu anggota Bomba Sukarela Karamunting dan Emergency Response Team Kilang IOI.

Penduduk berusaha memindahkan harta benda mereka ke tempat yang lebih selamat selepas puluhan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gas, Batu Sapi hari ini. Sebanyak 90 rumah di Kampung Gas dekat sini musnah dalam satu kebakaran petang tadi menyebabkan 400 penduduk kampung hilang tempat tinggal.?– Bernama

Usaha memadamkan api menghadapi kesukaran disebabkan tekanan air pili bomba rendah, paras air laut surut dan perubahan angin.Api dapat dikawal pada jam 4.15 petang dan dipadam sepenuhnya pada jam 5.39 petang, manakala  MKpunca kebakaran masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, seorang mangsa kebakaran, Nasrun Abdul Ghani, 63, memberitahu Bernama ini merupakan kali kedua rumahnya musnah terbakar di kampung itu selepas kejadian pertama pada 1994. Katanya dia, isteri dan lima ahli keluarganya hanya dapat menyelamatkan pakaian, dokumen penting dan sebuah periuk nasi elektrik.

Menurutnya peralatan elektrik lain antaranya peti sejuk, mesin basuh pakaian, televisyen dan perabot musnah terbakar.

Api merebak dengan cepat disebabkan kedudukan antara rumah yang rapat dan angin kencang, katanya.

Beliau berkata mereka sekeluarga akan tinggal sementara di rumah saudara terdekat di kampung yang sama.