90% sudah terima 1 dos vaksin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Jumlah penduduk yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 telah mencecah 90 peratus iaitu 387,002 orang setelah seramai 7,617 orang lagi menerima suntikan vaksin kelmarin (15 November),
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata, jumlah tersebut termasuk 3,243 orang daripada golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun.

“Manakala, 305,313 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 71 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambah beliau semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan itu, kini Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 692,315 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah pemberian tertinggi berbanding daerah-daerah lain iaitu sebanyak 447,401 diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 90,093, Daerah Tutong sebanyak 79,633 dan Daerah Temburong sebanyak 75,188.