900,000 kanak-kanak terima vaksin

WASHINGTON, 11 NOV – Amerika Syarikat (AS) menjalankan imunisasi ke atas sekitar 900,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dalam minggu pertama vaksin Pfizer dibenarkan untuk mereka, kata Rumah Putih, kelmarin.

Penyelaras COVID-19 Rumah Putih, Jeff Zeints, berkata kira-kira 700,000 lagi kanak-kanak telah membuat temu janji di farmasi.

“Program itu semakin rancak dilaksanakan,” katanya kepada wartawan, menambah hampir semua vaksin diberikan beberapa hari yang lalu.

Mengikut perangkaan, AS mempunyai kira-kira 28 juta kanak-kanak dalam kelompok usia tersebut.

Vaksinasi berlangsung di farmasi, pejabat pakar kanak-kanak, hospital kanak-kanak dan tempat tertentu yang dikhaskan.

Secara keseluruhan, sekitar 20,000 lokasi dirancang untuk pemberian suntikan kanak-kanak menggunakan vaksin Pfizer yang diluluskan minggu lalu.

Mereka bakal diberikan dua dos, dengan selang tiga minggu, manakala setiap dos mengandungi 10 mikrogram, berbanding 30 mikrogram yang diagihkan kepada individu yang lebih berusia. – AFP