91 lagi tamat tempoh kuarantin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Seramai 91 orang lagi individu dibenarkan untuk pulang hari ini setelah memenuhi syarat pengasingan diri mandatori selama 14 hari di hotel yang disediakan oleh pihak kerajaan di negara ini.

Kumpulan individu tersebut, terdiri daripada warga Brunei dan warga asing yang tiba di negara ini pada 20 Ogos lalu melalui udara dan darat seperti dari Sabah dan Sarawak, yang kemudiannya segera dibawa ke hotel pengasingan masing-masing dan menjalani prosedur pengasingan diri.

Antara daftar keluar yang dilakukan pada hari ini ialah seramai 23 orang dari Hotel Mulia, 19 orang dari Hotel Starlodge, 11 orang dari Hotel Higher, sembilan masing-masing dari Hotel Brunei, Traders Inn dan Hotel Kiulap, lima dari Hotel Grand City, empat dari Hotel Parkview dan dua dari Hotel Radisson.

Ketika berada di bawah jagaan pegawai Kementerian Kesihatan, pegawai beruniform dan sukarelawan belia, juga turut memberikan nasihat kesihatan awam yang harus mereka patuhi sebelum mereka dapat bersatu kembali bersama anggota keluarga masing-masing yang sedang menunggu.

Individu-individu menjalani pengasingan diri dari hari pertama ketibaan mereka dan dibenarkan pulang pada hari ke-15 juga diminta untuk melakukan ujian swab pada hari kelima ketibaan mereka di mana ada yang melakukan ujian mereka di bilik hotel mereka tinggal dan beberapa lagi dibawa ke pusat ujian swab oleh kerana jumlah bilangan individu yang ramai.

Secara keseluruhan, semua individu tersebut sangat menghargai jasa barisan hadapan dan juga kakitangan hotel yang tanpa lelah menjaga mereka sepanjang 15 hari pengasingan diri, memenuhi keperluan, memastikan bahawa mereka mengikuti peraturan pengasingan diri dan memeriksa setiap hari terutama mengenai status kesihatan serta menjaga minda dari terjadinya tekanan.

Setakat ini, jumlah individu yang menamatkan tempoh pengasingan diri mandatori 14 hari mereka sejak Mac 2020 ialah seramai 5,147 orang dan pada masa ini, seramai 476 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori.

Antara barisan hadapan yang bertugas di salah sebuah hotel pengasingan diri yang disediakan oleh pihak kerajaan.