Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Seramai 92 orang guru yang telah menyertai Program Bimbingan Literasi dan Numerasi (LNCP) petang tadi diraikan di Majlis Pengiktirafan Pembimbing Tempatan bagi Kohort 3 dan Kohort 4 yang berlangsung di Dewan Auditorium, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok.
Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa Program LNCP adalah penting dalam mentransformasikan pengajaran literasi dan numerasi di kesemua sekolah di negara ini.
Sepanjang tempoh bimbingan yang memakan masa 12 bulan itu, program tersebut mengetengahkan tiga peringkat iaitu akreditasi, diikuti dengan ‘specialist’ dan kemudian ‘expert level’.
Manakala itu, latihan dan penilaian program itu mengandungi empat bahagian iaitu kualiti pengajaran, dasar pendidikan, kandungan dan pengetahuan sistem dan memajukan penambahbaikan literasi dan numerasi bagi seluruh sekolah.


“Saya merasa begitu gembira pada majlis yang diadakan hari ini dan Program LNCP kini telah mempunyai 139 orang guru tempatan yang diiktiraf dan dalam perjalanan mereka untuk menjadi seorang pakar dan akhirnya menjadi pembimbing pakar,” ujar Dr Haji Azman.
Beliau kemudian juga menyeru agar semua pembimbing di negara ini untuk meneruskan lagi usaha mereka dalam sama-sama meningkatkan literasi dan numerasi di samping memperkenalkan budaya baru dalam sekolah-sekolah di negara ini.
Dr Haji Azman juga berharap agar sokongan padu akan terus diberikan daripada pemimpin-pemimpin sekolah dalam memastikan bahawa pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi daripada latihan model bimbingan tersebut dapat digunakan dengan cara yang efektif.
Beliau juga kemudian mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Akademi Guru Brunei Darussalam (BDTA) dalam usaha mereka untuk melatih para pembimbing sebagai sebahagian daripada program tersebut.