93 hektar tanaman popi bakal dimusnahkan

KACHIN, 21 FEB – Kerajaan Negeri Kachin di Myanmar sedang merangka pelan untuk memusnahkan lebih 93 hektar ladang tanaman pokok popi pada tahun ini.

Rekod kerajaan menunjukkan, sejak 26 Disember 2019 hingga 3 Januari tahun ini, kerajaan memusnahkan 11 kawasan tanaman itu yang terletak di utara Jalan Myitkyina-Kanpiketi.

Menteri Hal Ehwal Keselamatan dan Sempadan Kachin, Kolonel Nay Lin Tun, berkata pihaknya berhadapan dengan kekangan dana untuk memusnahkan kawasan tanaman popi yang masih luas.

“Satu projek sudah diselesaikan dan projek seterusnya sedang dijalankan.

“Di kawasan sebelah selatan, terdapat banyak lagi kawasan tanaman pokok popi untuk dimusnahkan dan kami memerlukan dana untuk melakukannya,” katanya.

Menurut media tempatan, Kachin merekodkan peningkatan mendadak tanaman popi selepas pertempuran meletus semula antara Tatmadaw dan Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA) pada 2011.

Kerajaan negeri memusnahkan 250 hektar ladang popi sepanjang tempoh 2012 hingga 2013; 535 hektar pada 2014/2015; 1,541 hektar pada 2015/2016 selain lebih 22 hektar bagi tempoh 2016 hingga 2017.

Pada 1999, Myanmar menetapkan sasaran 15 tahun untuk membanteras gejala penyalahgunaan dadah. Matlamat itu dilanjutkan hingga 2020 berikutan ia tidak mencapai kejayaan sepenuhnya. – Agensi