$93 juta untuk KSSUP

Oleh Pg Fairol RMF & Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menerima peruntukan berjumlah $93,000,810 bagi belanjawan tahun kewangan 2019/2020 sejajar dengan misinya untuk mempertingkatkan pertumbuhan keluaran sektor pertanian dan perikanan serta mempertingkatkan jumlah pelancong ke Negara Brunei Darussalam.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong (gambar) pada sidang Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari kelima, menyambut baik peruntukan yang disediakan untuk memperkasakan KSSUP.

Yang Berhormat Dato menjelaskan, sektor pertanian negara menunjukkan peningkatan dalam hasilnya daripada $365 juta pada tahun 2015 kepada $436 juta pada tahun lalu. Beliau turut mengambil maklum unjuran defisit belanjawan berjumlah $1,498,844,530 dan akan memikirkan cara-cara membantu kerajaan dalam meningkatkan hasil dan mengurangkan perbelanjaan terutama bagi perkara-perkara yang kurang berkeperluan.

“Daripada sudut keupayaan menyara diri, negara hampir mencapai tahap 100 peratus dalam bekalan ayam pedaging dan telur ayam, sekitar 47 peratus bagi sayur-sayuran, 37 peratus bagi buah-buahan, 30 peratus bagi bekalan daging namun bekalan beras masih banyak bergantung kepada import,” tambahnya.

Menyentuh mengenai keluaran sektor perikanan yang menurun daripada $110 juta pada tahun 2015 kepada $109 juta pada tahun 2018, beliau menjelaskan ia disebabkan wabak penyakit pada tahun 2018 yang memaksa pengusaha ternakan udang menghentikan sementara operasi selama satu kitaran.

“Bagi sektor pelancongan pula, jumlah pelancong melalui udara ke negara ini meningkat daripada jumlah 218,213 pada tahun 2015 kepada 278,136 pada tahun 2018,” ujarnya.

Bagi peruntukan projek di bawah KSSUP bagi tahun Kewangan 2019/2020, antara yang akan dibiayai ialah Projek Penghasilan Air dari Bawah Tanah di beberapa kawasan pertanian di seluruh negara berjumlah $900,000 dan Projek Melabuh Lawa-lawa untuk membantu para nelayan menangkap ikan tuna di laut dalam di zon 3 dan 4 berjumlah $1 juta.

Bagi perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negara ke-11 (RKN11) pula, KSSUP diperuntukkan $7.5 juta bagi mendalamkan Empangan Imang yang merupakan pembekal sumber air utama bagi kawasan pertanian di Daerah Brunei dan Muara, manakala sekitar $13.4 juta pula disediakan untuk perkembangan sektor perikanan, terutama akuakultur dan $5.7 juta bagi meningkatkan hasil keluaran sayur-sayuran menggunakan teknologi moden, jelasnya.

Manakala ketika menerangkan inisiatif baharu di bawah kementeriannya, Yang Berhormat Dato menekankan bagi menggalakkan orang ramai menceburi bidang pertanian dan menambah pengeluaran peladang sedia ada, inisiatif yang diperkenalkan ialah Pengenalan Projek Rintis, Pengenalan Projek Perladangan Berkontrak dan Penggalakan Pembesaran Perusahaan.

“Alhamdulillah, atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, penawaran tapak secara projek rintis telah diperkenalkan, bertujuan memberi peluang kepada para pengusaha atau peladang termasuklah para belia yang berminat untuk me-nerokai bidang pertanian secara percubaan,” tambahnya.

“Setakat ini, 45 pengusaha termasuk 16 belia telah pun ditawarkan tapak di bawah ini yang melibatkan lebih 290 hektar tanah. Mereka ini ditawarkan mengusahakan tanah itu dalam tempoh dua tahun percubaan dan jika menunjukkan prestasi yang sangat baik, keluasan tapak boleh ditambah sementara tempoh penyewaan akan dilanjutkan ke tempoh bersesuaian.

“Melalui Perladangan Kontrak pula, para peladang akan dapat menjual hasil ladang mereka melalui kontrak jangka panjang dengan pasar raya-pasar raya dan pemborong dalam negara serta pengeksport luar negara. Sebanyak 11 pengusaha industri tanaman telah pun memeterai kontrak peringkat permulaan dengan pasar raya-pasar raya tempatan setakat ini,” jelas beliau.

Satu lagi inisiatif yang sedang dilaksanakan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Projek Pembukaan Kawasan Baru Bagi Penanaman Padi Secara Komersial Berkeluasan 500 hektar di Kawasan Kandol, Daerah Belait dengan kos sekitar $20 juta akan dibiayai pihak pelabur termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) selebihnya sekitar $55 juta dibiayai kerajaan yang akan dipohon dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Menyentuh mengenai sektor pelancongan pula, Yang Berhormat Dato menjelaskan inisiatif ke arah membangun dan mempromosikan produk-produk pelancongan akan terus digiatkan melalui kerjasama dengan kementerian-kementerian relevan dan stakeholders lain seperti syarikat-syarikat penerbangan, pelancongan dan penginapan.

Dengan Jambatan Temburong dijangka siap menjelang hujung tahun ini, KSSUP juga akan bersiap sedia bagi menyambut pertambahan pelancongan melalui kepelbagaian produk pelancongan Temburong yang tidak hanya tertumpu kepada Taman Negara Ulu Temburong, malah pembangunan di kawasan Batang Duri dan Sungai Labu.

Menyentuh mengenai pekerjaan dalam sektor-sektor di bawah KSSUP pula, Yang Berhormat Dato menjelaskan sektor pertanian dan agrimakanan setakat ini menyediakan sebanyak 8,293 pekerjaan dengan 43 peratus adalah warga tempatan, perikanan sebanyak 3,235 pekerjaan (66 peratus anak tempatan) dan sektor perhutanan pula menyediakan sebanyak 765 pekerjaan (22 peratus anak tempatan) serta sektor pelancongan sebanyak 3,037 pekerjaan (71 peratus anak tempatan).