96 kes baharu, empat kluster dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV– Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 96 kes baharu jangkitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 14,058 orang.

Terdapat 59 tambahan kes-kes baharu kepada 12 kluster aktif yang sedia ada pada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Demikian telah dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam sidang media harian di Kementerian Kesihatan.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan bahawa terdapat empat kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 23 kes.

“Salah satu daripada kluster baharu ini iaitu Kluster WSS Kiulap construction dormitory adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelasnya.

Sementara itu lima kluster pula telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari iaitu Kluster Rimba Point, Kluster Salvin Princess Vessel, Kluster 2034, Kluster 6738, Kluster 8003, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 171 kluster.

“Selain itu, terdapat tiga kes import yang dicatatkan pada hari ini yang mana dua daripadanya telah tiba ke Negara Brunei Darussalam dari Kuala Lumpur dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI 874 pada 5 November 2021, dan satu kes lagi telah tiba ke Negara Brunei Darussalam dari Kuala Lumpur dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI 874 pada 27 Oktober 2021,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Manakala, terdapat 11 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Negara juga telah mencatatkan sebanyak 119 kes yang telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 13,233 kes, manakala jumlah kes aktif menurun kepada 728 kes.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengongsikan bahawa enam kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

Sementara itu, seramai 6,729 orang di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kelmarin (10 November 2021).

“Ini termasuk 4,646 golongan remaja berumur 12-17 tahun,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dengan jumlah tersebut, kini di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, seramai 371,184 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 86.3 peratus daripada jumlah penduduk negara.