96 lagi minuman keras dirampas

Oleh Yusrin Junaidi

TEMBURONG, 23 SEPT – Keanggotaan Balai Polis Temburong telah merampas sejumlah 96 botol minuman keras semasa rondaan dan pemantauan yang dijalankan di kawasan penurunan perahu Kampung Meniup, Daerah Temburong, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dalam rondaan sekitar 5:15 petang itu, sebuah kenderaan yang mencurigakan berdaftar dengan nombor pendaftaran negara ini ditahan bersama pemandu seorang lelaki warga tempatan.

Sejurus menjalankan pemeriksaan telah mendapati beberapa bungkusan berwarna hitam yang mencurigakan dipercayai barangan tegahan diletakkan di tempat duduk penumpang belakang dan bonet kereta.

Turut ditemukan satu peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyalahgunaan dadah. Suspek berserta kenderaan dibawa ke Balai Polis Temburong untuk dijalankan siasatan.

Kemudian suspek bersama barang bukti dan kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk siasatan lanjut.

Pegawai polis menunjukkan minuman keras yang dirampas. – Gambar serahan PPDB