97 pain darah dikumpulkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Sebanyak 97 pain darah telah dikumpulkan secara keseluruhannya dalam kempen derma darah anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Ibu Pejabat JBP, Jalan Lapangan Terbang Lama Berakas.

Kempen yang dikendalikan bersama Pusat Pendermaan Darah, Perkhidmatan Makmal Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu telah berjaya mengumpulkan sebanyak 44 pain darah pada hari pertama, kelmarin, manakala itu, kempen hari ini mengutip 53 pain darah.

Sebelum pendermaan darah dijalankan, pihak jabatan juga telah mengambil langkah-langkah keselamatan menghindari perkumpulan ramai dengan melakukan penjarakkan sosial serta mengehadkan keramaian.

Pihak Pusat Pendermaan Darah memberi jaminan keselamatan kepada para penderma yang perlu menjalani pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu dan pemeriksaan kesihatan yang ketat serta dinasihatkan memakai topeng muka.

Penganjuran kempen berkenaan adalah usaha warga JBP dalam sama-sama berganding bahu membantu pihak Kementerian Kesihatan menambahkan bekalan darah untuk menampung permintaan yang meningkat bagi keperluan darah pada masa ini.

Antara yang menyertai hari kedua kempen menderma darah di JBP.

Kempen berkenaan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan yang mana ia juga dihadiri oleh orang awam.

Menurut kenyataan yang diberikan, selain daripada terlibat dalam menangani kerja-kerja kecemasan, JBP juga terlibat dalam aktiviti-aktiviti kebajikan.

Sehubungan dengan itu, dalam usaha untuk mengawal jangkitan virus COVID-19, JBP juga terlibat membantu pihak Kementerian Kesihatan di beberapa bahagian untuk mengawal orang awam yang dikuarantin di hotel-hotel di seluruh negara ketika negara dilanda pandemik COVID-19.