97% pelajar terima 1 dos vaksin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Program Vaksinasi Kebangsaan bagi Pelajar-pelajar Berumur 12 hingga 17 tahun yang bermula pada 8 November lalu atas kerjasama Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Kesihatan telah sempurna dijalankan pada 19 November lalu.

“Pelaksanaan program ini telah berjalan dengan lancar yang melibatkan vaksinasi ke atas seramai 37,089 atau 97 peratus orang pelajar terdiri daripada kalangan mereka yang bersekolah di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) serta sekolah-sekolah swasta dan sekolah-sekolah antarabangsa.”

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, bagi pelajar-pelajar yang tidak dapat menghadirkan diri mengikut jadual yang telah ditetapkan, Yang Berhormat Dato menasihatkan mereka untuk menghubungi sekolah masing-masing bagi proses selanjutnya dan juga membantu pelajar-pelajar untuk mendapatkan vaksinasi.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Dato selaku wakil Kementerian Pendidikan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan petugas di pusat-pusat vaksinasi, para pegawai, pemimpin sekolah dan guru-guru pengawas yang bertugas serta para ibu bapa dan penjaga yang telah memberi kerjasama penuh dan padu dalam sama-sama memastikan kelancaran pelaksanaan vaksinasi untuk dos pertama.

“Dalam pada itu, sukacita juga memaklumkan bahawa Insya-Allah fasa berikut dalam melaksanakan program vaksinasi pelajar bagi dos kedua akan dilaksanakan bermula 6 Disember 2021,” tambah beliau.

Menurutnya, jadual dan pelaksanaan bagi dos kedua tersebut akan diedarkan kepada para ibu bapa dan pihak-pihak berkepentingan melalui pihak sekolah pada waktu yang terdekat ini.

“Dalam membuat persediaan ke arah itu, Kementerian Pendidikan dan KHEU juga penuh berharap sokongan dan kerjasama daripada semua pihak yang diterima semasa pelaksanaan dos pertama akan juga dapat ditunjukkan semasa pelaksanaan dos kedua nanti.

“Pihak kementerian yakin dengan kerjasama ini, kita akan sama-sama dapat mendokong usaha membendung penularan pandemik COVID-19 dan menyumbang ke arah keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di negara ini,” ujarnya.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa sidang media situasi COVID-19 di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani