97,000 mohon baharui cukai, lesen online

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) menerima sejumlah 97,000 permohonan untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu secara online sepanjang gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini.

Daripada jumlah itu, 67,000 adalah bagi pembaharuan cukai jalan dan 30,000 lagi bagi membaharui lesen memandu.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof (gambar) mengongsikan perkara itu pada Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya lagi, sejumlah 90 peratus tunggakan atau backlog bagi pembaharuan lesen dan cukai jalan telah pun diselesaikan dan hanya 10 peratus lagi masih perlu diselesaikan.

Dengan pembukaan kaunter di JPD kelak, beliau melahirkan harapan ia mempermudahkan lagi penggunaan perkhidmatannya.

“Backlog ini disebabkan beberapa masalah dan salah satu masalah terbesar yang dihadapi ialah pembayaran,” jelasnya. Apabila mendapat tahu mengenai masalah tersebut, tambahnya, pihak Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, JPD dan EGNC telah membuat rundingan dengan bank-bank tertentu dan masalah itu telah berjaya diatasi.

Yang Berhormat Dato turut mengucapkan ucapan terima kasih atas kerjasama orang ramai yang terus memberikan maklum balas dan melalui maklum balas ini, MTIC dan JPD telah mengesan masalah tersebut lebih awal.