Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Seramai 98 orang peserta terdiri daripada 43 lelaki dan 55 perempuan, telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) 2023 yang berlangsung di Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD), petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku Timbalan Pengerusi Majlis UTB.
Turut hadir ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman yang memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.
Majlis diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad oleh para peserta khatam yang diketuai oleh Awang Nabil Ridhwan bin Suhili @ Suhaili, bakal graduan program Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dalam Perakaunan dan Sistem Maklumat.
Takhtim dan Doa Khatam pula dibacakan oleh Awangku Ahmadi bin Pengiran Idrus, bakal graduan program Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dalam Kewangan dan Pengurusan Risiko.
Tetamu kehormat juga menyampaikan sijil-sijil khatam dan cenderahati kepada para peserta khatam lelaki, manakala bagi para peserta perempuan disampaikan oleh Naib Canselor UTB.
Acara kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Bilal Tingkat 1, Masjid Universiti, Haji Jalil bin Haji Putra.
Seramai 397 orang bakal graduan akan diraikan pada Majlis Konvokesyen 2023 UTB yang akan diadakan pada 14 September ini di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.