98 PMI pulang naiki pesawat khas

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan Kedutaan Besar Republik Indonesia

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Seramai 98 pekerja migran Indonesia (PMI) di Negara Brunei Darussalam pulang ke Republik Indonesia dengan menaiki penerbangan khas Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), baru-baru ini.

Hadir di Ruang Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko bersama kakitangan Kedutaan Besar Republik Indonesia.

Semasa berada di sana, Tuan Yang Terutama memberitahu para pekerja Indonesia berkenaan bahawa penerbangan khas itu diusahakan susulan penutupan sementara
penerbangan dari dan ke beberapa buah negara dan ini termasuk penerbangan ke Indonesia (Jakarta, Surabaya, Bali) sejak 23 Mac 2020 sebagai usaha mengawal penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Beliau seterusnya berharap, PMI dapat kembali ke kampung halaman masing-masing dengan sihat dan selamat yang mana proses kepulangan pekerja berkenaan adalah dibiayai sendiri.

“Penerbangan khas ini adalah kerjasama antara Kedutaan Besar Indonesia, kerajaan Brunei Darussalam, Kedutaan Besar Brunei Darussalam di Jakarta dan RB,” tambahnya.

Beliau seterusnya berharap, PMI akan selalu menjaga kesihatan dan menghindari penularan COVID-19 dan sentiasa bersiap menerima protokol COVID-19 di Indonesia termasuk kuarantin selama 14 hari.

Kedutaan Besar Republik Indonesia membekalkan setiap penumpang dengan sarung tangan, penutup mulut dan hidung serta dokumen perjalanan selain setiap penumpang juga diberikan Health Alert Card daripada Kementerian Kesihatan Republik Indonesia yang perlu diisi dan diserahkan kepada pihak berkenaan sejurus tiba di La-pangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

Walaupun 191 orang telah mendaftar ke Kedutaan Besar Indonesia untuk pulang ke Indonesia dengan penerbangan khusus RB berkenaan tapi hanya 98 orang terpilih berikutan penjarakan sosial.

Dari Jakarta, pesawat berkenaan akan kembali ke Brunei dengan membawa warga Brunei sebagai penumpang dan pada masa akan datang, Kedutaan Besar Indonesia akan merancang penerbangan khas ke Indonesia.

TYT Dr Sujatmiko bercakap bersama salah seorang warga Indonesia yang pulang ke Indonesia menaiki penerbangan khas berkenaan.
Warga Indonesia menjalani pemeriksaan suhu badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.