99 kes baharu, lima kluster dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Sebanyak 99 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 13,545 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini turut mengongsikan 29 tambahan kes-kes baharu kepada sembilan kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

“Terdapat lima kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 22 kes, kesemua kluster-kluster baharu ini merupakan kluster kediaman di mana satu daripadanya iaitu Kluster Pakiza Staffhouse yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelas Yang Berhormat Dato.

Manakala dua kluster telah ditamatkan setelah tidak ada kes dikesan dalam kluster berkenaan selama 28 hari iaitu Kluster LOF Bakery dan Kluster 7799, menjadikan jumlah kluster yang aktif meningkat kepada 179 kluster.

Dalam pada itu, terdapat 48 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Sebanyak 175 kes telah disahkan sembuh hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 12,098 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,355 kes,” kongsinya.

Dalam kalangan kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, lima kes dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemuanya memerlukan bantuan mesin pernafasan dengan satu daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 13 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” jelasnya.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,947 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 521,827 ujian.

Di hujung kenyataannya, beliau turut menyeru orang ramai untuk sama-sama memohon ke hadrat Allah SWT agar seluruh rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa dirahmati dan
dilindungi.

“Mudah-mudahan semua petugas di barisan hadapan termasuk sukarelawan, badan bukan kerajaan dan pihak kerajaan terpelihara dan terhindar dari segala kemudaratan wabak COVID-19 dan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik balasan jua di atas jasa bakti mereka,” ujarnya.