A.Ayam lebarkan sayap

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Restoran A. Ayam, sebuah restoran yang sudah pun bertapak lama di negara ini semenjak 2002 lagi, mengadakan pelancaran semula restorannya di Kampung Bengkurong, malam kelmarin.

Restoran yang sering menjadi pilihan ramai penduduk negara ini, melancarkan penampilan baharu yang lebih menarik dan memperkenalkan beberapa menu hidangan baharu selain mengekalkan menu-menu kegemaran ramai.

Hadir bagi merasmikan majlis pelancaran semula restoran tersebut ialah perwakilan Restoran A.Ayam, Marcus Tam yang dalam ucapan ringkasnya menjelaskan bahawa restoran tersebut yang mempunyai sijil Brunei Halal, bakal meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan dan mempelbagaikan lagi menu hidangan bagi pilihan pelanggan.

Restoran yang dilancarkan semula itu menyaksikan reka bentuk dalaman dan kelengkapan yang diberikan nafas baharu dan tampak serba moden selain memberikan keselesaan kepada pelanggan yang berkunjung ke sana.

Manakala sajian kegemaran yang boleh didapati di sana termasuklah Grilled Chicken Burger, Original Fried Chicken, Sweet and Savory Chicken, Nasi Lemak dan bermacam-macam lagi termasuklah hidangan istimewa yang terkenal di negara Thailand iaitu Tom Yam Noodle.

Sementara itu A.Ayam juga tidak ketinggalan dalam menyajikan hidangan pencuci mulut yang menyelerakan serta menjadi pilihan ramai iaitu Milky Buns dan Snowy Buns.

Antara hidangan ayam istimewa di A.Ayam.