KEHADIRAN filem saspens-seram terbitan Paramount Pictures, A Quiet Place dilihat berjaya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan sekaligus menjadi pilihan utama di pawagam pada minggu ini.
Filem arahan John Krasinski itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$50.3 juta setelah ditayangkan di 3,508 pawagam.
Jumlah kutipan yang sangat memberangsangkan itu secara tidak langsung telah melayakkannya untuk menjadi filem kedua yang berjaya mendapat kutipan tertinggi pada minggu pertama ia ditayangkan selepas Black Panther yang berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$202 juta ketika ia pertama kali ditayangkan pada Februari lalu.
“FIlem seram dan saspens seram memang tidak dinafikan sering berjaya mendapat sambutan menggalakkan sebagaimana yang dapat disaksikan pada tahun lalu apabila kutipan filem dari genre tersebut berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$1 juta. Namun prestasi yang ditonjolkan oleh filem A Quiet Place ini ternyata merupakan sesuatu yang berada di luar jangkaan,” jelas Penganalis Media di comScore, Paul Dergarabedian.
Presiden Pengedar Domestik Paramount, Kyle Davis menyatakan bahawa kejayaan filem A Quiet Place ini adalah atas dorongan dan komen positif yang diberikan.





“Kredibiliti John Krasinski dalam mengarahkan sebuah filem kelihatan ringkas namun memberikan impak hebat nyata wajar dipuji kerana ia berjaya meraih perhatian daripada penonton,” jelas Davis.
A Quiet Place mengisahkan mengenai sebuah keluarga yang harus berhadapan dengan cabaran untuk menetap di sebuah kawasan terpencil.
Namun hakikatnya kawasan tersebut turut diancam oleh satu makhluk ganas yang mudah menunjukkan reaksi apabila mendengar sesuatu bunyi.
Juara minggu lalu, Ready Player One arahan Steven Spielberg pula akur berada di tangga kedua apabila berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$25 juta setelah ditayangkan di 4,234 pawagam.
Secara purata, filem aksi sains fiksyen ini telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$97 juta setelah ia ditayangkan selama dua minggu.
Sementara di pasaran antarabangsa pula, filem terbitan Warner Bros itu telah berjaya mengumpulkan kutipan seba-nyak AS$294.4 juta.
Blockers yang baru ditayangkan pada minggu ini pula menduduki tangga ketiga dengan jumlah kutipan sebanyak AS$21.4 juta hasil tayangan di 3,379 pawagam.
Filem arahan Kay Cannon dan diterbitkan oleh Universal menampilkan barisan pelakon hebat seperti John Cena, Leslie Mann dan Ike Barinholtz.
“Secara jujurnya kami memang gembira terhadap prestasi yang ditonjolkan dalam filem Blockers dan Kay Cannon juga dilihat telah berjaya melaksanakan tugasnya sebagai seorang pengarah dengan baik,” jelas Ketua Pengedar Domestik Universal, Jim Orr.
Walaupun telah ditayangkan selama lapan minggu namun Black Panther dilihat kekal berjaya mendapat sambutan penonton apabila ia mengumpulkan kutipan sebanyak AS$8.4 juta setelah ditayangkan di 2,747 pawagam.
Secara keseluruhan, filem aksi adiwira itu telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$665.4 juta sekaligus menjadikannya sebagai filem ketiga yang berjaya mendapat kutipan tertinggi selepas Star Wars: The Force Awakens dan Avatar.
Di pasaran antarabangsa pula, Black Panther berjaya memperlihatkan prestasi cemerlang apabila berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$1.29 bilion.
I Can Only imagine terbitan Lionsgate dan Roadside Attractions pula berjaya me-ngumpulkan kutipan sebanyak AS$8.3 juta setelah ditayangkan di 2,894 pawagam.
Secara keseluruhan, filem yang diadaptasi daripada lirik sebuah lagu itu telah berjaya mengumpulkan kutipan seba-nyak AS$69 juta hasil tayangan selama empat minggu.
Selain itu, dua buah filem baru yang turut ditayangkan pada minggu ini adalah Chappaquiddick terbitan Entertainment Studios dan The Miracle Season terbitan LD Entertainment.