Gambar oleh Hakim Hayat
TOULOUSE, Perancis, 25 Mei – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah melakar mercu tanda baharu dengan penerimaan pesawat penerbangan Airbus A320neo yang pertamanya, mewujudkan peluang besar dan keefisienan bagi memperluaskan laluan rangkaian pengangkutan serantau.
Hadir pada majlis penyerahan bersejarah yang diadakan di Toulouse itu ialah Duta Brunei ke Perancis, Puan Yang Terutama Datin Paduka Malai Hajah Halimah binti Malai Haji Yussof; Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand; Ketua Pegawai Komersial Airbus, Eric Schulz; Pemangku Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Brunei, Awang Mohammad Nazri bin Mohammad Yusof; Naib Presiden dan Pengurus Am Jualan Penerbangan GE, Jason Tonich serta Pengarah Pengurusan Program Pelanggan Thales, Elsie Yamanouye.
Airbus A320neo itu merupakan pesawat tempahan pertama RB daripada tujuh dan tiga pesawat pilihan di bawah program pembaharuan armada pesawatnya yang diumumkan pada 2014.
Dalam kenyataan yang diterima hari ini, Karam Chand semasa berucap pada majlis penyerahan itu, berkata, pesawat Airbus A320neo dilengkapi dengan enjin Leap-1A26 CFM memiliki kelebihan termasuk penjimatan bahan api, pelepasan karbon lebih rendah, lebih senyap dalam kelasnya dan membolehkan RB mencapai penjimatan kos ketara dan mengurangkan jejak karbon.
“Pesawat itu juga merupakan yang pertama di dunia yang mempunyai rangka badan jenis ‘narrow’ dan dilengkapi dengan sistem hiburan Thales Avant (Gen5) yang menyediakan pelanggan pengalaman baharu dalam pesawat dan sesuai dengan perjalanan jarak jauh. Pesawat ini juga memiliki keistimewaan tambahan lain seperti USB power dan audio/video outlet di setiap tempat duduk.



“Pesawat baharu itu juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan dan meningkatkan keupayaan operasi kami. Keistimewaan A320 juga memberikan RB dengan pilihan rendah risiko untuk menerajui pasaran penerbangan jarak sederhana baharu sehingga tujuh jam dan kami akan mengumumkan laluan baharu beberapa bulan akan datang,” tambah Karam Chand lagi.
Tambah kenyataan itu lagi, pesawat pertama A320neo RB akan memulakan perjalanan komersial bermula 7 Jun ini dengan Singapura akan menjadi destinasi pertama.
Eric Schulz dalam kenyataan itu juga mengatakan Airbus gembira RB menjadi syarikat penerbangan terkini yang menerima penyerahan A320neo, pesawat lorong tunggal yang digemari di dunia.
Dengan kabin selesa, kos operasi murah dan efisien bahan api, A320neo akan melengkapi armada sedia ada RB dan menyumbang kepada kejayaan seterusnya syarikat tersebut.
RB yang beroperasi ke 18 destinasi di seluruh dunia pada masa ini sudah pun memiliki 10 pesawat; empat Boeing 787-8 Dreamliner dan enam A320ceo.
Lapan pesawat baharu akan menyertai armadanya pada hujung tahun ini (B787 yang kelima dan tujuh buah A320neo). RB akan mempunyai salah satu armada termuda di dunia dengan purata usia dua tahun menjelang Disember.