KUALA LUMPUR, 18 NOV – Atlet ski air Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah dan adik lelakinya Aiden memburu rekod baharu dalam saingan Kejohanan Oceania 2022 di Australia hujung minggu ini.
Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) dalam kenyataan memaklumkan Aaliyah Yoong, 19, dan Aiden Yoong, 17, dijemput oleh Konfederasi Oceania untuk bertanding dengan beberapa orang pemain ski terbaik di rantau ini di Max Kirwan Ski Park Mulwala, New South Wales.
Sudah tentu ini peluang untuk Aaliyah Yoong terus menyerlahkan kehadirannya di peringkat tertinggi susulan kejayaan beliau tahun ini, kerana acara berkenaan akan menamatkan musim 2022 beliau, dengan kejohanan Oceania akan menampilkan saingan kuat dari Australia dan New Zealand.
Sementara itu, bagi Aiden Yoong, kejohanan itu ialah pertandingan kedua beliau tahun ini dengan matlamat untuk memperbaiki mata ‘tricks’ dengan sasaran mendapat jemputan ke Junior Moomba di Melbourne pada Mac tahun depan.
Aaliyah Yoong akan bertanding dalam tiga acara iaitu ‘slalom’, ‘tricks’ dan ‘jump’ manakala Aiden Yoong akan beraksi dalam ‘slalom’ dan ‘tricks’ sahaja. – Bernama