PELAKON popular Datuk Aaron Aziz akui banyak mendapat tawaran menjadi penceramah program motivasi sejak dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada 16 Disember lalu.
Aaron, 42, berkata darjah kebesaran dan pingat diterima adalah tanggungjawab yang diamanahkan untuknya berbakti kepada masyarakat.
“Sejujurnya, saya juga tidak menjangka dapat banyak tawaran ceramah motivasi. Selain itu, saya turut mendapat undangan menjayakan program amal dan aktviti membabitkan isu semasa.”
“Saya turun padang dan melihat apa masalah mereka. Bagi saya, gelaran ini satu tanggungjawab dan berharap dapat digunakan untuk sesuatu perubahan positif dalam kehidupan.”
“Dalam masa sama, saya percaya ini adalah rezeki. Insya Allah amanat ini saya gunakan sebaiknya,” katanya.
Ditanya mengenai gelaran itu, Aaron tidak mahu menjadikan ia satu beban untuk orang ramai memanggilnya Datuk.
“Dari dulu sampai sekarang saya sama saja. Malah, selepas dapat Datuk pun, tidak ada apa berubah. Saya juga tidak kisah kalau ada yang tidak panggil saya Datuk.”
“Dalam perkara ini ia hak masing-masing. Mungkin tidak semua orang tahu mengenai gelaran ini.”
“Terpulang macam mana mereka nak panggil saya asal saja bukan ‘hoi’ atau panggilan yang tidak sepatutnya,” katanya.
Dalam soal bayaran membabitkan kerjaya lakonan pula, Aaron akui harga masih sama.