Aaron tahan sakit, bimbang tiada kerja

Biarpun mengalami masalah gangguan pada saraf lehernya, namun ia tidak menjadi halangan buat kepada aktor kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz untuk terus bekerja.

Aaron yang mengalami masalah saraf tersepit pada bahagian leher sejak lapan tahun lalu hingga terpaksa keluar masuk hospital, berkata syarikat produksi tidak perlu bimbang untuk memanggilnya berlakon.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-25 itu berkata, dia masih boleh melakonkan babak aksi asalkan tidak keterlaluan.

Bagaimanapun, Aaron itu kurang selesa berkongsi kesakitan dialami kerana tidak mahu produser bimbang untuk mengambilnya berlakon.

“Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang kesakitan sepanjang menjayakan dua babak besar dalam drama Gerak Khas Undercover. Secara kebetulan, kebanyakan babak aksi yang perlu dilakukan tidak terlalu keterlaluan, jadi saya memilih untuk melakukannya sendiri.

Biarpun mengalami masalah gangguan pada saraf lehernya, namun ia tidak menjadi halangan buat kepada aktor kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz untuk terus bekerja. – Agensi

“Cuma, saya bimbang jika terjatuh ke belakang atau depan. Jika ada aksi sedemikian, saya terpaksa menggunakan pelakon lagak ngeri kerana tidak mahu kesakitan dialami pada bahagian saraf menjadi bertambah teruk.

“Apa yang pelik, saya langsung tidak mengalami sebarang kesakitan sepanjang berada di lokasi penggambaran. Namun, kesakitan mula menyerang akibat tersalah langkah ketika membuat senaman, gara-gara sibuk melihat jam ketika di rumah.

“Jangan bimbang saya masih mampu berlakon,” katanya ketika sidang media drama Gerak Khas Undercover secara virtual, baru-baru ini.

Bagi mengurangkan kesakitan dialami, pelakon filem Ombak Rindu itu berkongsi, dia terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit yang kuat bagi mengurangkan dan menghentikan keradangan pada saraf.

Kesakitan pada bahagian saraf lehernya mula dialami Aaron pada 2012, sebelum menjalani penggambaran program realiti sukan lasak, Fear Factor Malaysia.

“Saya sepatutnya menjalani pembedahan, tetapi saya tidak mahu menyusahkan produksi kerana bakal melambatkan kerja, jadi saya memilih makan ubat dan menjalani rawatan fisioterapi.

“Lagipun, saya tidak mahu akibat pembedahan perlu bercuti lama daripada lakonan. Dengan bantuan ubat, dapatlah saya mengurangkan kesakitan ditanggung. – Agensi