Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir

    KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Pemain beregu lelaki utama Malaysia Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempunyai satu lagi peluang untuk menamatkan badi terkandas di pusingan separuh akhir, selepas menewaskan pasangan dari Korea Selatan Choi Sol Gyu-Seo Seung Jae pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun pada Jumaat.

    Pertarungan pada set pertama agak sengit, namun gandingan negara itu berjaya mendahului perlawanan pembukaan apabila menang 21-18 dalam acara yang diadakan di Tokyo Metropolitan Gymnasium itu.

    Selepas ketinggalan satu mata pada ‘interval’ set kedua, 10-11, Aaron-Wooi Yik yang juga pasangan pilihan keenam kejohanan itu bangkit bertenaga untuk melakar kemenangan 21-16 ke atas gandingan pilihan ke-10 itu.

    “Kunci kepada kemenangan ini ialah kemampuan bermain dengan tenang dan saya melihat kami menghasilkan beberapa pukulan berkualiti tinggi yang semestinya memberi tekanan kepada pihak lawan,” katanya.

    Sementara itu, Aaron berharap dapat mengekalkan momentum kerana mereka berhasrat untuk menamatkan badi sering terkandas di peringkat separuh akhir agar dapat mara ke perlawanan akhir pada Ahad ini.

    Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu akan menentang pasangan pilihan ketujuh, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India yang mengecewakan juara bertahan Takuro Hoki-Yiugo Kobayashi dari Jepun dengan 24-22, 15-21, 21-14.

    Sebelum ini, Aaron-Wooi Yik gagal melepasi pusingan separuh akhir sebanyak enam kali tahun ini termasuk ketika Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini selepas tumpas kepada gandingan England Ben Lane-Sean Vendy 21-18, 17-21, 4-21. – Bernama

    Aksi Aaron Chiaa-Soh Woi Yik semasa perlawanan separuh akhir Sukan Komanwel Birmingham pada 7 Ogos lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...