KUALA LUMPUR, 3 MAC – Juara bertahan beregu lelaki dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik, meletakkan All England 2023 sebagai fokus utama mereka dalam tiga siri kejohanan Eropah, disertai bulan ini.
Walaupun mengunci mulut mengenai sasaran sebenar mereka, Aaron sebaliknya berharap agar dapat ‘meloloskan diri’ sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir, bermula dengan kejohanan Terbuka Jerman pada 8-13 Mac diikuti All England 2023 (14-19 Mac) dan Terbuka Swiss (21-26 Mac).
Beliau berkata mereka yang bakal turun sebagai pilihan pertama di Terbuka Jerman, akan menjadikan kejohanan tersebut sebagai medan persediaan untuk tampil lebih meyakinkan pada All England, yang juga kejohanan badminton tertua dunia itu.
“Setakat ini, persediaan dari segi fizikal dan kecergasan semua okay. Walaupun kami pilihan utama di Terbuka Jerman, namun kami harap takkan beri tekanan kepada diri sendiri dan cuba buat yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.
Pasangan nombor dua dunia yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama Terbuka Jerman itu, dijadual bertemu sama ada rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau gandingan Jepun Akira Koga-Taichi Saito, pada pusingan kedua. – Bernama
