ABA 2021 secara maya rai organisasi cemerlang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Dengan membawa tema Recover Stronger, Together, Sama-Sama, Anugerah Perniagaan ASEAN 2021 (ABA 2021) diadakan secara maya disebabkan sekatan COVID-19 di mana acara serantau itu meraikan organisasi cemerlang daripada komuniti perniagaan ASEAN yang telah menyumbang kepada kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi rantau semasa tahun yang mencabar ini.

Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei menghoskan acara tahunan itu sebagai sebahagian daripada pengerusi ASEAN 2021 di mana tema yang diketengahkan mengambil maklum akan perjuangan perniagaan disebabkan kesan sosioekonomi yang buruk dan akibat daripada pandemik.

ABA 2021 yang berlangsung secara maya, kelmarin, menyaksikan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan mengurniakan sabda menerusi rakaman video.

Dalam kata alu-aluannya pada majlis itu, Pengerusi ABA, Haji Musa Haji Adnin berkata bahawa sejak ABA diperkenalkan pada 2007, ia telah memberikan penekanan kepada dua matlamat utama iaitu untuk memberikan pengiktirafan kepada perusahaan ASEAN yang berjaya dan cemerlang serta menjadi sebagai platform untuk menyebarkan maklumat mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN.

Beliau menambah bahawa anugerah itu juga mengetengahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi untuk menjadi pemain dalam ekonomi global.

Haji Musa turut menyatakan bahawa pada tahun ini, sebanyak 126 permohonan telah diterima di mana 86 daripadanya telah disenarai pendekkan dengan sebanyak 45 anugerah berprestij disampaikan kepada individu atau organisasi daripada negara-negara anggota ASEAN termasuk dua kepada negara bukan ASEAN.

Pemenang-pemenang anugerah berkenaan merangkumi lima dari Brunei, tiga dari Kemboja, tiga dari Indonesia, empat dari Laos, tujuh dari Malaysia, dua dari Myanmar, lapan dari Filipina, lima dari Singapura, tiga dari Thailand, tiga dari Vietnam dan dua dari negara-negara bukan ASEAN.

Beliau menambah bahawa kesemua pemenang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing dan telah memenuhi kriteria penghakiman yang tegas bagi lapan kategori anugerah iaitu Priority Integration Sectors, SME Excellence, Young Entrepreneur, Women Entrepreneur, Friends of ASEAN, Inclusive Business, Skills Development dan Brunei Special Award for Emerging Social Enterprise bagi memperingati Tahun Pengerusi Brunei 2021.

Pada majlis itu, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN 2021, Yang Berhormat Fdr Ar Dayang Siti Rozaimeriyanty binti DSLJ Haji Abdul Rahman dalam ucapan penghargaannya menyatakan bahawa pemenang dan mereka yang dicalonkan dalam anugerah itu merupakan juara sebenar Tonggak Ekonomi ASEAN.

Beliau menambah bahawa syarikat-syarikat berkenaan telah melalui dengan tabah serta membuktikan kepada kita bahawa terdapat peluang-peluang bagi perdagangan dalam barangan dan perkhidmatan serta penjanaan harta di ASEAN di mana ia menanti untuk direbut.