Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ABAC seru realisasi perdagangan adil, terbuka

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Ketua-ketua Majlis Penasihat Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (ABAC) dalam dekri kenyataan yang diserahkan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menekankan komitmen untuk mempromosikan perdagangan yang adil dan terbuka.

    Walau bagaimanapun, ABAC menyedari keberkesanan kenyataan mereka akhirnya bergantung pada tindakan kerajaan dan pegawai kanan negara-negara terbabit.

    Pengerusi ABAC Brunei dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat LVK, Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii menekankan perkara itu pada sidang media ABAC yang diadakan di The Empire Brunei pagi tadi.

    Menurut Dayang Nik Hafimi, ABAC hanya boleh menggalakkan sesebuah negara pada tahap tertentu dan terpulang kepada kerajaan untuk mengambil tindakan dan melaksanakan perubahan secara menyeluruh.

    Dayang Nik Hafimi dalam kenyataan media ABAC, turut melahirkan penghargaan Brunei diberi peluang menjadi tuan rumah persidangan dan menunjukkan apa yang boleh ditawarkan Brunei di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa serta berharap syarikat-syarikat tempatan merebut peluang untuk mengembangluaskan keupayaan dan
    kapasiti mereka.

    Dari kiri: Ketua-ketua ABAC, Rachel Taulelei, Dominic Ng, Dayang Nik Hafimi, Janet De Silva dan Hiroshi Nakaso ketika sidang media yang berlangsung di The Empire Brunei, kelmarin.
    Dayang Nik Hafimi berucap pada sidang media berkenaan.

    Sidang media turut disertai oleh Pengerusi ABAC 2023, Dominic Ng dari Amerika Syarikat (AS); Pengerusi ABAC Kanada, Janet De Silva; Pengerusi ABAC Jepun, Hiroshi
    Nakaso dan Pengerusi ABAC New Zealand, Rachel Taulelei.

    Dominic Ng menyuarakan mengenai pertumbuhan mampan dan kesan pendigital serta inovasi terhadap ekonomi yang menjadi fokus ABAC pada tahun ini.

    Menurutnya, meskipun perdagangan dan pelaburan sentiasa menjadi topik penting
    bagi ABAC dan APEC, mereka menyedari inisiatif untuk mempertimbangkan keperluan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKS), wanita dan masyarakat semasa membincangkan isu ini.

    Pada masa yang sama, beliau menjelaskan, pembiayaan adalah elemen penting dalam menangani isu-isu ini, kerana tanpa pembiayaan yang mencukupi, adalah sukar untuk mencapai matlamat yang berkaitan dengan perubahan iklim, integrasi ekonomi, sekuriti makanan dan daya tahan kesihatan.

    Menyentuh mengenai cabaran dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini, Dominic berkata penyelesaian dan cadangan telah disiapkan semasa Mesyuarat ABAC II, yang akan dibentangkan ABAC dalam bentuk surat kepada menteri pada Mesyuarat APEC di Detroit, AS pada Mei ini mengenai tiga bidang utama yang meliputi pendigitalan dan inovasi, kemampanan dan pertumbuhan, dan integrasi ekonomi.

    Sementara itu, Janet Silva turut mengongsikan mengenai peranan ABAC, iaitu memberikan cadangan kepada pemimpin mengenai isu-isu mendesak seperti rangka kerja infrastruktur dan peraturan yang diperlukan untuk mengikuti kemajuan teknologi.

    Manakala, Rachel Taulelei turut menekankan mengenai kepentingan integrasi ekonomi sebagai satu cara untuk menuju ke arah kemakmuran secara kolektif.

    Jelasnya, kumpulan kerja integrasi ekonomi merentasi beberapa bidang penting yang termasuk penglibatan, konsistensi dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA), dan penggunaan perdagangan sebagai pemboleh dan bukannya perencat (inhibitor).

    Hiroshi Nakaso turut mengongsikan mengenai risiko yang dihadapi rantau ini dan bagaimana ABAC dan APEC boleh meminimumkan risiko ini melalui kerjasama ekonomi.

    Tiga risiko utama ialah cadangan geopolitik yang menjejaskan perdagangan secara negatif, trajektori dasar monetari yang tidak menentu yang membawa kepada keadaan kredit yang ketat, dan tekanan kewangan di AS dan Eropah.

    Menurut beliau, pasukannya memberi tumpuan kepada pembiayaan peralihan, yang bertujuan untuk membiayai perbelanjaan modal yang diperlukan untuk rantau ini beralih kepada hijau dengan lancar yang mana memerlukan sejumlah besar pembiayaan, tetapi pelbagai badan termasuk ASEAN dan G20 sedang berusaha dengan cara terbaik untuk mencapai matlamat ini.

    Dalam kenyataan medianya, ABAC mengatakan ia telah menggesa menteri-menteri perdagangan untuk mengimbangi cabaran dihadapi rantau ini, termasuklah risiko alam sekitar, tekanan kewangan dan krisis kos hidup selain peluang untuk meletakkan rantau ini di laluan keterangkuman ekonomi, keteguhan dan kemapanan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda