Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Abadikan diri mendidik

    ANHUI – Mendidik sudah lama menjadi darah daging Ye Lianping, guru bersara berusia 95 tahun dari Kampung Buchen di wilayah Anhui, Timur China.

    Guru veteran itu sudah 22 tahun mengabadikan dirinya mengajar kanak-kanak yang ditinggalkan di kampung tersebut – secara percuma. Selepas bersara pada 1991, dia sering kembali ke sekolah untuk mengajar secara sukarela.

    Dalam tahun 2000, dia menawarkan kelas Bahasa Inggeris percuma kepada kanak-kanak yang ibu bapanya merantau ke pelosok lain di China untuk bekerja.

    Dia pertama kali menubuhkan sebuah kelas – ‘rumah bagi kanak-kanak yang ditinggalkan’ di dalam rumahnya sendiri. Kemudian, kerajaan tempatan mengubah sebuah kawasan stor di seberang rumahnya menjadi dua bilik kelas, di mana lebih 2,000 kanak-kanak meraih manfaat daripada pengajaran Ye dalam masa 22 tahun.

    Pada 2012, dia menubuhkan Yayasan Biasiswa Ye Lianping menggunakan hampir semua wang simpanannya, dengan sumbangan daripada kerajaan tempatan dan sekolah. Setakat ini, dia sudah menyediakan bantuan kewangan bagi beratus-ratus kanak-kanak yang ditinggalkan.

    Ye Lianping ketika mengajar anak muridnya yang ditinggalkan keluarga dalam kelas di Kampung Buchen di mukim Hexian, Anhui, timur China. – Xinhua

    Meskipun memberikan sokongan baik kepada pelajarnya, Ye menjalani kehidupan yang sederhana. Meman-dangkan dia tidak punya anak, dia tinggal bersama isterinya dalam rumah dibina 30 tahun lalu, di mana ada kalanya dia menyediakan hidangan makanan dan penginapan bagi kanak-kanak dari kampung yang agak jauh. Bagi menjimatkan wang, Ye tidak pernah membazirkan sesen pun untuk dirinya, walaupun hanya membeli sebotol air. Buktinya, dia masih menggunakan kole enamel selama berdekad-dekad.

    Walaupun semakin tua, dia tidak pernah jemu mengajar. Pada 2010, Ye didiagnosis dengan katarak, namun melakukan pembedahan hanya apabila dia tidak dapat membaca kertas kerja dihantar pelajarnya. Dalam musim panas 2018, Ye cedera semasa menunggang basikal ketika membeli sayur untuk guru sukarelawan. Daripada terbaring di katil untuk pulih, dia kembali ke sekolah dengan bertongkat kayu dalam masa seminggu.

    Ye sedang mengejar masa untuk meluangkan sebanyak mungkin sisa hidupnya bagi pendidikan luar bandar. “Masa saya terhad dan saya berharap dapat sampai ke penghujungnya,” katanya.

    Dia digelar ‘lilin kampung, membakar diri selamanya.’

    Namun katanya, “Saya hanya seekor kunang-kunang yang kecil sinarannya, tidaklah seterang cahaya yang terpancar daripada sebatang lilin.” – ANN/China New Daily

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...