Abang Jo: Budaya toleransi S’wak perlu dipertahankan

KOTA SAMARAHAN (SARAWAK), 22 NOV – Kerajaan negeri Sarawak yang dibentuk oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mahukan penduduk negeri itu terus mempertahankan budaya toleransi yang dikecapi sejak sekian lama.

Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata budaya berkenaan dihayati oleh badan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu yang sentiasa bersedia membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang agama atau kaum.

“Ini Sarawak…Sarawak yang ceria. Tolong menolong satu sama lain dan kita tidak mempunyai puak agama (dan) ini penting kerana kita (rakyat Sarawak) memahami antara satu sama lain,” kata berucap pada majlis pecah tanah Rumah Kanak-kanak Salvation Army di sini hari ini. Beliau berkata Salvation Army yang difahamkan telah memulakan aktiviti di negeri itu sejak pemerintahan Gabenor Sarawak Sir Anthony Abell telah banyak menyumbang kepada kebajikan masyarakat, terutama kepada mereka yang memerlukan bantuan.

“Salvation Army telah melaksanakan kebaikan dan kewajipan, persatuan sukarelawan Muslim telah melakukan perkara sama dan berinteraksi dan berhubung (antara satu sama lain), sehinggakan mereka telah bekerjasama untuk membantu anggota masyarakat kita (yang memerlukan) ,” katanya.

Abang Johari berkata selagi penduduk mahukan GPS terus menerajui pentadbiran kerajaan negeri, beliau akan terus memastikan NGO seperti Salvation Army tidak bersendirian dalam membantu penduduk Sarawak yang memerlukan untuk meningkatkan taraf hidup mereka. – Bernama

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga,kiri) diberi penerangan oleh Jurutera Projek ‘Children’s Home The Salvation Army’, Sia Peh Swee (tiga,kanan) pada Pelancaran Majlis Pecah Tanah Projek tersebut di Muara Tuang, Samarahan. – Bernama