Abang Jo: Integriti antirasuah agenda utama

KUCHING, 11 Feb – Dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030, integriti rakyat perlu dibangunkan selaras dengan pembangunan fizikal yang dikecap, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (gambar bawah).

Beliau berkata pelbagai program dijalankan bagi tujuan itu, antaranya bengkel ‘Corruption Risk Management’, program wacana ummah dan Hari Puisi Nasional ke-20 yang bertemakan integriti, sebagai langkah kerajaan negeri membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat.

“Tidak ada negara yang boleh mendabik dada bahawa mereka bebas daripada rasuah. Namun ia tidak bermakna kita harus biarkan gejala ini berterusan. Kita mahu bangsa Malaysia dan rakyat Sarawak dikenali kerana kejujuran, akauntabiliti, profesionalisme dan integriti yang tinggi.

“Saya akan pastikan kerajaan negeri meletakkan integriti dan anti-rasuah sebagai salah satu keutamaan dalam gerak kerja tahunan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Integriti 2019 anjuran unit Integriti dan Ombudsman Sarawak bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Seri Akhbar Satar dan Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Datuk Seri Zakaria Jaffar.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata terdapat beberapa faktor yang mendorong seseorang individu melakukan amalan rasuah antaranya rasionalisasi, ruang atau peluang, tekanan dan kemampuan.

“Perbuatan negatif pemimpin akan dijadikan rasional pengikutnya untuk melakukan amalan tidak sihat itu meskipun berskala kecil dan itulah yang dinamakan rasionalisasi,”

“Kita tidak mahu kerana tekanan yang dihadapi, peluang yang terhidang dan kerana kuasa atau kemampuan yang dimiliki, seseorang itu sanggup untuk menggadai maruah diri sehingga mengetepikan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata bagi memperkasakan lagi integriti dalam pentadbiran, seramai 40 orang penjawat awam termasuk daripada badan-badan berkanun negeri akan menyertai kursus Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) seliaan Akademi Antirasuah Malaysia (MACA).

“Mulai hari ini juga seorang pegawai SPRM akan ditempatkan di Unit Integriti dan Ombudsman negeri untuk membantu dalam membudayakan integriti, meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus dalam pentadbiran,” katanya. – Bernama