Abang Johari KM S’wak yang baru

KUCHING, 13 Jan – Datuk Amar Abang Haji Johari bin Tun Abang Haji Openg, 67, hari ini dilantik sebagai Ketua Menteri baharu Sarawak menggantikan Allahyarham Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem yang meninggal dunia Rabu lepas.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu yang lengkap berpakaian Baju Melayu hitam, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam di hadapan Yang Di-Pertua Negeri, Tun Haji Abdul Taib Mahmud di Astana, kediaman rasmi ketua negeri di sini.

Turut hadir, isteri beliau Datin Amar Jumaani binti Tuanku Bujang, anggota-anggota kabinet negeri, anggota Dewan Undangan Negeri dan kakitangan kanan awam.

Datuk Amar Abang Haji Johari atau dikenali mesra dengan nama Abang Jo, merupakan seorang daripada tiga timbalan ketua menteri di bawah pentadbiran Allahyarham Tan Sri Haji Adenan, selain Datuk Amar Douglas Uggah dan Tan Sri Dr James Masing.

Merupakan seorang ahli politik veteran, Datuk Amar Abang Johari berkecimpung dalam politik lebih daripada 30 tahun.

Datuk Amar Abang Johari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-6 di hadapan Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri di Petra Jaya, Kuching kelmarin. – Bernama
Datuk Amar Abang Johari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-6 di hadapan Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri di Petra Jaya, Kuching kelmarin. – Bernama

Beliau merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Satok selama sembilan penggal.

Datuk Amar Abang Johari yang berkelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Brunel, United Kingdom, pertama kali bertanding bagi kerusi itu, pada 1981.

Beliau mempunyai 10 orang adik-beradik daripada keluarga ternama Sarawak yang mempunyai sejarah panjang di negeri ini.

Allahyarham bapanya Tun Abang Haji Openg merupakan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak pertama selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada Britain dan selepas pembentukan Malaysia pada 1963. – Bernama