Abang Johari mulakan tugas sebagai KM S’wak

KUCHING, 16 Jan – Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pagi ini memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Menteri Sarawak setelah dilantik Jumaat lalu.

Beliau tiba di Wisma Bapa Malaysia, bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Petra Jaya kira-kira pukul 9.07 minit pagi.

Ketibaan Abang Johari disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani sebelum beliau menuju ke Pejabat Ketua Menteri di Tingkat 22. Beliau turut disambut pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat Sarawak memberikan sokongan sepenuhnya Datuk Amar Abang Johari seperti mana diberikan kepada Allahyarham Tan Sri Haji Adenan bin Haji Satem.

MULA TUGAS ... Ketua Menteri Sarawak yang baru, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menandatangani surat dan dokumen di Wisma Bapa Malaysia, bangunan pentadbiran kerajaan negeri, di Kuching. Turut memerhati Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Wan Khalik Wan Muhamad (kanan). – Bernama
MULA TUGAS … Ketua Menteri Sarawak yang baru, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menandatangani surat dan dokumen di Wisma Bapa Malaysia, bangunan pentadbiran kerajaan negeri, di Kuching. Turut memerhati Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Wan Khalik Wan Muhamad (kanan). – Bernama

Beliau juga berjanji akan membantu merealisasikan akujanji yang dibuat kerajaan negeri semasa dipimpin Allahyarham Tan Sri Adenan.

“Saya harap jasa-jasa beliau dalam pembangunan Sarawak khususnya dalam menterjemah semua akujanji dalam pilihan raya negeri yang lalu akan dapat kita penuhi terutamanya oleh Datuk Amar Abang Johari,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi pusara Adenan di tanah perkuburan Islam Samariang di Petra Jaya dekat Kuching hari ini. – Bernama