KUCHING, 29 Jan – Ketua Menteri Sarawak yang baru dilantik, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mempunyai peranca-ngan beliau sendiri untuk memajukan lagi pembangunan ekonomi negeri itu.
Beliau berkata bagi tujuan berkenaan, satu persidangan akan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, dijadualkan berlangsung di sini dalam tempoh terdekat yang turut melibatkan penyertaan pakar antarabangsa.
Katanya, persidangan itu akan meneroka hala tuju pembangunan ekonomi negeri berdasarkan sumber-sumber sedia ada.
Beliau berkata mengikut perancangan baharu pembangunan ekonomi itu, kerajaan akan lebih memilih dalam menerima pelaburan ke negeri itu sejajar dengan usaha memelihara alam sekitar.
“Kita akan mendapatkan lebih banyak industri sifar pencemaran ke negeri ini dalam usaha memelihara alam sekitar kita, memandangkan itulah kekuatan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Dewan Sa’ati SUPP di sini, semalam.
Abang Johari berkata, ketua menteri sebelum ini, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem berazam untuk mengubah kawasan luar bandar.
“Jika kita mahu mengubah kawasan luar bandar, sektor yang perlu dibangunkan secara serius ialah pertanian dan pelancongan, di samping pembangunan infrastruktur yang tepat,” katanya.
Ketua Menteri juga berkata, masyarakat Cina Sarawak juga banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Katanya, beliau yakin dengan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa di Sarawak, masa depan negeri sentiasa terjamin. – Bernama