Abang mengaku salah tumbuk adik

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Seorang abang yang berdepan pertuduhan menumbuk dan mengugut adiknya berusia 36 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, kelmarin.

Muhammad Ali Taufiq Hidayat bin Haji Ismail, 40, mengaku bersalah di hadapan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman kerana menumbuk muka mangsa sebanyak dua kali pada 26 Februari 2019 pada jam 7:21 malam.

Kejadian didakwa berlaku di rumah keluarga yang beralamat di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Lambak Kiri.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengugut mangsa dengan mengacukan parang.

Menurut fakta kes, kejadian bermula apabila mangsa mengesyaki tertuduh telah mengambil barang-barang rumah ketika bermalam di rumah keluarga. Mangsa yang ketika itu berada di bilik bapa mereka terkejut sebaik melihat tertuduh masuk ke bilik.

Mangsa menanyakan tertuduh apa yang dibuatnya di bilik itu, dan jawapan yang diberikan “tidak berbuat apa-apa”.

Tertuduh kemudian keluar tetapi masuk semula untuk bersemuka dengan mangsa,.

Pertelingkahan berlaku sehingga tertuduh menyerang mangsa. Majistret Hajah Ervy bagaimanapun menangguhkan hukuman untuk pengakuan bersalah tertuduh sehingga tertuduh selesai dibicarakan untuk tuduhan mengugut.

Tarikh perbicaraan akan dijalankan pada Julai 2019. Kes tertuduh didakwa Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.