Abang tiri pemimpin Korea U informan CIA

SEOUL, 11 JUN – Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un yang dibunuh di Malaysia pada tahun 2017, adalah pemberi maklumat Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), lapor Wall Street Journal (WSJ) hari ini.

Memetik sumber terdekat dengan kes berkenaan, akhbar itu berkata, Kim Jong Nam telah banyak kali mengadakan pertemuan dengan penguat kuasa CIA.

Kim Jong Nam, yang pernah dilihat sebagai pewaris kepada kepimpinan Utara, maut selepas wajahnya dipalit dengan cecair agen saraf VX ketika dia menunggu di lapangan terbang Kuala Lumpur.

Menurut sumber WSJ adanya kaitan antara Kim Jong Nam dan CIA namun akhbar itu berkata banyak butiran hubungannya dengan agensi perisikan masih kabur.

Sumber itu berkata Kim Jong Nam berkunjung ke Malaysia pada Februari 2017 untuk bertemu orang hubungan CIA, meskipun itu mungkin bukan satu-satunya tujuan perjalanan itu.

Kim Jong Nam meninggal dunia selepas diserang di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada 13 Februari 2017 dalam satu pembunuhan jenis Perang Dingin yang mengejutkan dunia. – AFP