Abbas, Gantz adakan mesyuarat

RAMALLAH, WILAYAH PALESTIN, 30 OGOS – Menteri Pertahanan Israel telah bertemu dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas bagi rundingan peringkat tertinggi luar biasa, namun sumber rapat Perdana Menteri Naftali Bennett menegaskan hari ini yang kerajaannya tidak mempunyai rancangan untuk menghidupkan semula rundingan damai.

Menteri Pertahanan Benny Gantz bertemu Abbas di Ramallah dalam apa yang dilaporkan rundingan langsung pertama antara anggota kabinet Israel dan pemimpin Palestin berusia 86 tahun itu dalam masa beberapa tahun.

Mesyuarat itu yang menurut pejabat Gantz menumpu pada ‘isu-isu dasar keselamatan, awam dan ekonomi’, muncul beberapa jam selepas Bennett kembali dari Washington di mana dia bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Biden berkata dia akan menggesa Bennett untuk mencari jalan ‘memulakan perdamaian dan keselamatan serta kemakmuran bagi penduduk Israel dan Palestin’.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, Gantz memberitahu Abbas yang Israel ‘berusaha untuk menangani langkah-langkah yang akan memperkukuhkan ekonomi PA’.

“Mereka juga membincangkan mengenai membentuk situasi keselamatan dan ekonomi di Tebing Barat dan di Gaza,” dan bersetuju untuk meneruskan komunikasi selanjutnya,” tambahnya.

Sumber rapat dengan Bennett berkata mesyuarat yang diluluskannya itu menumpu pada ‘isu-isu antara penubuhan pertahanan dan Pihak Berkuasa Palestin’.

“Tidak ada proses perdamaian bersama Palestin akan terjadi,” di bawah kepimpinan Bennett, kata sumber yang meminta dirahsiakan.

Mesyuarat Gantz-Abbas turut dihadiri ketua cawangan ketenteraan Israel yang bertanggungjawab bagi hal ehwal awam di wilayah Palestin, Ghasan Alyan, pegawai kanan PA, Hussein Al Sheikh dan ketua perisikan Palestin, Majid Faraj. – AFP

Gambar gabungan menunjukkan Presiden Palestin, Mahmud Abbas dan Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz. – AFP