Abbas, Guterres gesa serangan Gaza dihentikan

RAMALLAH, 20 MEI – Presiden Palestin Mahmoud Abbas semalam mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Antonio Guterres dan menggesa serangan udara Israel di Semenanjung Gaza dihentikan.

Abbas dan Guterres turut berbincang mengenai usaha antarabangsa untuk mencapai persetujuan gencatan senjata, lapor agensi berita Xinhua memetik Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut Abbas “serangan kejam Israel di Semenanjung Gaza menyebabkan malapetaka dan kehancuran dan Israel harus bertanggungjawab atas kejahatan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.”

“Adalah perlu untuk melawan serangan pendatang Israel yang disokong tentera di Baitulmaqdis, te-rutama usaha bagi merebut kembali kediaman rakyat Palestin di kawasan Sheikh Jarrah,” kata Abbas.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan bagi mengadakan sesi Perhimpunan Agung PBB di New York pada Khamis dan sedang berusaha untuk mengeluarkan pernyataan bagi mendesak Israel menghentikan serangan ke atas Gaza.

Guterres turut menegaskan PBB akan melakukan segala usaha untuk mencapai persetujuan gencatan senjata, proses damai dan menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada rakyat Palestin. – Bernama