NEW YORK, 22 SEPT – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada kelmarin berkata keamanan di Asia Barat tidak boleh dicapai tanpa jaminan ke atas hak rakyat Palestin, lapor Agensi Anadolu (AA).
Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, beliau memberi amaran kepada Israel agar tidak menjadikan perjuangan politiknya kepada ‘perselisihan antara agama’, merujuk kepada pencerobohan dan pencabulan terhadap kesucian Islam dan Kristian di Baitulmaqdis.
“Israel melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, dan mengetepikan Perjanjian Oslo, namun kami masih menaruh harapan anda mengambil keputusan untuk menamatkan pendudukan Israel di tanah kami,” kata Abbas.
Abbas menggesa ketua PBB Antonio Guterres membuat persiapan untuk mengadakan persidangan damai antarabangsa bagi proses damai yang terhenti ‘berikutan dasar Israel’.
Persidangan itu “mungkin peluang terakhir untuk memastikan kemungkinan penyelesaian dua negara, dan untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.
Abbas menuntut ‘langkah praktikal’ untuk mengiktiraf negara Palestin dan mempunyai keahlian penuh dalam PBB.
Ketegangan semakin memuncak di Tebing Barat sejak beberapa bulan kebelakangan ini di tengah-tengah serbuan berulang Israel di bandar-bandar Palestin.
Rundingan damai antara Palestin dan Israel terhenti sejak April 2014 ekoran keengganan Tel Aviv untuk menghentikan pembinaan penempatan dan membebaskan tahanan Palestin. Mereka juga mengelak penyelesaian dua negara. – Bernama