ABDB anjur aktiviti berkebajikan di Pusat Ehsan

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 15 April – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hari ini telah mengadakan aktiviti berkebajikan di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, cawangan Kuala Belait (Pusat Ehsan KB) bersempena Sambutan Ulang Tahun ABDB yang ke-57.

Program dianjurkan adalah selaras dengan peranan ABDB dalam memupuk dan mengukuhkan hubungannya bersama masyarakat sekeliling.

Hadir menyertai program berkenaan ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud selaku tetamu kehormat, dengan kehadirannya dialu-alukan oleh Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab dan Pengurus Pusat Ehsan KB, Dayang Hamimah binti Sapar.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Mumin selaku penghulu Mukim Liang; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad, para pemerintah dan pegawai kanan ABDB serta Pejabat Daerah Belait termasuklah kakitangan dan pelajar Pusat Ehsan KB.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program berkenaan ialah kempen membersihkan, kerja-kerja membaik pulih, membersihkan pokok-pokok dan rumput serta penanaman pokok.

Aktiviti berkenaan dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan disusuli dengan kerja-kerja pembersihan di beberapa lokasi yang dikenal pasti di sekitar pusat berkenaan.

Sementara itu, menurut Pegawai Pemerintah, 726 Mejar Shahrul Amirul Iqbal bin Haji Sharbini ketika ditemui berkata aktiviti tersebut merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh ABDB bagi meringankan beban mereka yang memerlukan bantuan selain memenuhi keperluan di pusat berkenaan tahun ini.

“Kami berharap program seumpama ini akan dapat membantu memperbaiki lagi kehidupan mereka terutama sekali para pelajar yang memerlukan bantuan sekaligus memberi inspirasi kepada orang ramai untuk melakukan kerja-kerja berkebajikan tersebut kepada mereka yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

Aktiviti berkenaan kemudiannya menyaksikan majlis bertukar-tukar cenderahati antara Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan dan Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bagi memperingati acara berkebajikan berkenaan dan juga sebagai tanda penghargaan Pusat Ehsan KB kepada ABDB.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan menyerahkan cenderahati kepada Dato Paduka Haji Mohammad Alimin.
Anggota ABDB semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penebangan pokok.