Oleh Normazlina M.D
Gambar oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei
TUTONG, 27 Dis – Berikutan kejadian banjir yang melanda di beberapa kawasan di negara ini, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) terus terlibat dalam memberikan bantuan bencana alam di beberapa kawasan yang terjejas.
Seramai 23 orang anggota dari Batalion Kedua, Tentera Darat Diraja Brunei (2Bn TDDB) telah membantu penduduk dan pemandu yang terkandas di kawasan Kampung Layong, Tutong, baru-baru ini.
Kegiatan kebajikan itu adalah sebahagian daripada usaha Kerjasama Awam dan Tentera (CIMIC) di mana ABDB bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain dalam membantu orang ramai.